Monthly Archives: February 2010

Meskipun saya bukan Melayu

Meskipun saya bukan Melayu (seperti yang tertera pada IC), tetapi saya sangat sayang pada bahasanya.

Ketika kecil saya tidak pun dibesarkan dengan Bahasa Melayu standard. Seingat saya, ayah saya sangat jarang menggunakan bahasa Melayu, tetapi hanya berbahasa kampung kami (Minangkabau pure punya) sehinggalah sekitar usia saya 7 tahun, untuk memastikan kami tidak lupa bahasa keturunan ini.
Saya sendiri pernah menangis kerana geram – asyik tidak faham terma-terma akademik di sekolah!

Saya keliru dengan arahan peperiksaan – ‘Sila padankan.’ Saya cuma tahu daun pandan – yang emak selalu minta tolong untuk saya kerat di belakang rumah.

Walaupun hanya ayah sahaja yang skema dengan bahasa Minangnya, tetapi menetap di kawasan perumahan yang hampir ke semuanya pendatang asing (bukan tanpa izin ya, ini halal punya), memang konfius saya dengan bahasa-bahasa ini.

“Nova, mari sini sekejap,” panggil Cikgu Alfonso, guru bahasa Melayu saya ke meja guru. Darjah 3 Kenanga.

Cikgu memandang saya tersengih-sengih.

“Tak semua perkataan sesuai untuk ditambah imbuhan ‘ke – an’ ini tau. Kamu tahu kan apa maksud perkataan ni?”

Kami belajar imbuhan hari itu. Lembut – kelembutan. Sihat, kesihatan.

Dan saya memberi contoh ‘malu’ untuk latihan tersebut.

“Saya tak tahu, cikgu. Apa maksud dia, cikgu?” Innocent saya bertanya, Cikgu cuma tersengih, dan meninggalkan saya termangu-mangu.

(dalam bahasa Indonesia, perkataan yang dimaksudkan tidak semestinya membawa maksud seperti yang kita faham.
Saya kemaluan = Saya berasa sangat malu )

Dan bermacam-macam lagi peristiwa, bukti kelam-kabutnya bahasa Melayu saya ini. Mujur saja SPM dapat A1 8)

Tetapi kini, setelah saya sudah boleh berkomunikasi bahasa Melayu dengan baik (rasanyalah), saya berusaha untuk mengamalkan Bahasa Melayu standard. Fokus cerita saya ini dalam penulisan.

Mungkin kerana guru-guru Bahasa Melayu saya sejak dari tadika dahulu semuanya best-best belaka.

Cukuplah untuk saya nyatakan, saya sangat gembira jika dapat membaca tulisan anda yang menggunakan ejaan bahasa Melayu standard, dalam emel terutamanya.
Setidaknya, bolehlah menganggap saya sebagai sahabat anda yang bukan Melayu, yang memang sudah porak-peranda dalam bahasanya; terpaksa pula merangkak-rangkak membaca tulisan daripada orang Melayu seperti anda!

Sikit-sikit campur biasalah, kita faham semua mengejar masa.Sekadar penggunaan ‘yg’ , ‘sy’, ‘iA’, ‘tp’, saya tidak bermasalah dengannya.

Tp klu sumer @ kebnyknnya cm ni, fuh, mmg betatih2 kt nk bc tlsn awk tw! Bley la kt nk dmand sket awk tulis full.. Kt kena pakse smpi de mood ba8 baru dpt hbskn tlsn awk~

Oh, SMS, chatting, YM, itu semua lain cerita ya.

Saya ingin berkongsi emel seorang kawan saya yang worth reading. Saya amat bersetuju dengannya =)

………………………………………………………………………………..

Siapa kita?

English

Dalam masyarakat yang menggunakan English, ‘the spoken English’ merupakan satu aset yg ada pada seseorang yang boleh menunjukkan tahap intelektual seseorang.

Saya teringat dalam sebuah novel yang saya  baca dahulu, ada satu ayat yang sangat menarik.

‘…From the way the farmer speaks, we know that he is very educated. Something must have made him to work here…’
(give and take some words)

Dan peminat setia novel Harry Potter pasti akan perasan akan ketinggian dan kehalusan laras bahasa yang dituturkan oleh Sir Albus Dumbledore!

Nah, betapa tinggi nilai bahasa dalam menentukan siapa kita.

Arab

Saya tidak pernah belajar bahasa Arab. Maka apa yang saya akan tulis mungkin sekadar dengar-dengar sahaja.

Semasa berada di Mekah, saya diberitahu bahawa mereka agak sukar untuk berkomunikasi di pasar dan kedai-kedai, walaupun mahir berbahasa Arab. Semuanya gara-gara Arab yang diguna oleh masyarakat berbeza daripada Arab fushah (arab buku@quran).

Namun, yang menarik perhatian saya ialah apabila dia mengatakan,

“..Professor kat sini suka kalau orang boleh bercakap Arab fushah. Dalam kelas memang kami guna Arab Fushah. Dan kalau kami berjumpa dengan orang-orang Arab yang terpelajar, memang mereka lebih suka gunakan Arab Fushah. Tapi orang yang berniaga di pasar ramai yang tak faham Arab fushah…”

French

Ini merupakan bahasa ketiga saya. Memang rumit mempelajari French, malah lebih sukar daripada English. Namun saya menggemarinya kerana keunikan bahasa tersebut.

Yang paling menarik minat saya, dalam French ada satu tatabahasa (grammar, if u like) yang agak optional dan lebih khusus untuk diguna dalam setting yang formal.

Teringat saya akan kata-kata cikgu French saya.

‘…if you go to an event, maybe with the French Diplomat, try to impress him using ‘le subjonctif.. .’

Maka, jika anda boleh menggunakan ‘tense’ ini dengan tepat, ia secara tidak langsung menandakan siapa anda.

Bahasa Melayu@Malaysia

Walaupun agak sayang kerana bahasa Melayu lisan kita adalah sama, baik bagi orang yang terpelajar ataupun tidak, namun saya tidak nampak ini sebagai ruang untuk kita tidak menghormati bahasa kita.

Malahan, saya percaya dalam penulisan, penggunaan Bahasa Melayu memang boleh melambangkan siapa kita. Dalam kata lain, bahasa menjadi aras penanda siapa kita.

Maka, menjadi suatu kesedihan apabila kita lihat ramai di antara kita yang mula mengabaikan bahasa, atas alasan ini HANYA bahasa Melayu. Ah, alasan ini sebenarnya lebih menyedihkan daripada masalah itu sendiri.

Saya ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian, yang bukan sahaja terpelajar dalam bidang masing-masing, malah telah meletakkan diri di dalam sebuah kumpulan manusia yang berjihad di jalan Allah, untuk sama-sama kita tinggikan martabat bahasa kita.

Saya ingin mengajak kalian untuk tunjukkan siapa diri kita yang sebenarnya, melalui laras bahasa kita.

Saya ingin mengajak kalian untuk tinggalkan jahiliah dalam berbahasa.

Saya ingin mengajak kalian untuk menulis dengan tujuan, dan antara tujuan itu ialah untuk berbahasa.

Saya ingin mengajak kalian untuk menjadi mereka yang mengagungkan bahasa ini.

Polemik masa kini

Kita lihat ramai di antara kita yang tidak menggunakan bahasa Melayu yang rasmi dalam berbahasa. Saya boleh terima jika ia berbuat demikian berdasarkan sebab yang munasabah.

Antara tujuan yang boleh diterima ialah:

1. Meringkaskan perkataan (e.g. dalam SMS, Yahoo Messenger, Twitter etc)
2. Memudahkan pemahaman pembaca (e.g. korang diorang dalam dialog)
3. Melambangkan bunyi perkataan yang disebut, terutamanya bila tulisan berbentuk santai (e.g. cantek, buleh)

Namun, jika mengubah perkataan dan ayat kerana:

1. Suka-suka (dh bese tls mcm g2)
2. Nampak cantik (diowang, gempaks, korank, dowh, canteque etc)
3. Malas (…)

Maka usahlah menjadi mereka yang sekadar cantik di luar tapi tidak di dalam. Sesungguhnya, bahasa itu cantik pada penggunaannya yang kreatif tanpa meninggalkan peraturan berbahasa.

Alasan saya sudah biasa menggunakannya juga bukanlah suatu alasan. Jika kita sudah biasa menulis tanpa rujukan, adakah wajar kita jadikannya suatu alasan untuk tidak meletakkan bibliografi dalam tulisan-tulisan kita pasca universiti?
Ataupun jika saya sudah biasa kelam kabut, adakah wajar untuk kita terus kelam kabut ketika kita membedah pesakit?

Manusia berubah dengan pendidikan.

Dan menggunakan bahasa yang betul tidak semestinya akan menghasilkan ayat yang panjang-panjang dan sukar. Lihat bloggers seperti SaifulislamZaffan Khalid, dan Azree SM.

Mari kita buktikan kepada dunia, bahawa kita benar-benar bernilai RM1 juta! (emel ini ditulis untuk sahabat-sahabat di UK/Eire)

Wallahu’alam.

"Ijan ditangkok jo gamba den," inilah bahasa kami. Memahami?

p/s 1: Artikel ini menyokong sebuah artikel saifulislam

p/s 2: Tajuk entri ini mungkin jauh menyimpang daripada isinya. Bersabarlah.

p/s 3: Mungkin ada yang geram dan ingin katakan, “Indon tu Melayu lah!”
Hehe, setuju (dan kalau boleh memang nak pun), cuma pernyataan ini berdasarkan pengiktirafan bertulis Kerajaan Malaysia kepada kami, dan juga ketidak layakan kami menerima hak keistimewaan Melayu =) Tunggu kena kawin dulu dengan Melayu baru generasi seterusnya dapat hak-hak Melayu

=)

Advertisements

Kita, Menjadi Kanak-Kanak Terlalu Lama

Dipetik dari blog Kak Adibah Abdullah.
Saya suka, mungkin anda pun akan suka juga. Happy reading :)

……

Lihat kepada sejarah, pada usia apakah tokoh-tokoh sanjungan kita berhenti menjadi kanak-kanak?

Anas bin Malik sudah meriwayatkan hadis seawal usia sepuluh tahun, mungkin lebih awal.
Ali ibn Abi Talib memeluk Islam juga sekitar usia sejagung itu dan menggadai nyawa di katil Nabi sewaktu usianya sebaya anak-anak mentah hari ini di universiti.
Ketika usianya pun sepuluh tahun, Usamah bin Zaid barangkali merajuk muncung-muncung kerana tidak dibenarkan memikul pedang ke medan Uhud. Namun cepat ditebus kehampaan itu dalam Perang Khandak lima tahun kemudian, dan waktu baru-baru mencecah usia dua puluh, anak muda ini sudah mengepalai angkatan perang ke negara Syam melanyak tentera Romawi.

Anak-anak muda yang diabadikan dalam surah al-Kahfi, berapa agaknya usia mereka?

Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran. – Al-Kahf, [18:13-14]

Imam as-Syahid Hassan al-Banna sudah berdemonstrasi menyuarakan penentangan terhadap pemerintahan British ketika berusia 13 tahun. Sembilan tahun kemudian, dalam usia 22 tahun, pertubuhan Ikhwanul Muslimin diasaskan. Dan selanjutnya adalah sejarah, bukan?

Saiyidatina Aisyah r.a., menurut banyak riwayat, menjadi isteri Nabi Muhammad S.A.W. ketika usianya masih begitu kecil. Tentunya dalam usia yang begitu muda juga, berterusan ke akhir hayatnya, bonda kita ini telah menyampaikan pula ilmu-ilmu yang dipelajari langsung daripada suaminya Junjungan yang Mulia kepada para sahabat dari jauh dan dekat.

Berapa pula usia Nabi Muhammad S.A.W. ketika menerima lamaran Saiyidatina Khadijah? (Yang tentu sahaja dalam keadaan sudah dewasa oleh pengalaman, matang bekerjaya, dengan akhlak dan wibawa yang diperakui rata-rata). 25 tahun. Barangkali sebaya usia kita yang masih terkial-kial selepas keluar universiti, terkebil-kebil berhadapan dengan dunia nyata yang rupa-rupanya tidak sama dengan apa yang dikhayal-khayalkan sewaktu di menara gading dahulu.

Kita, jika dibandingkan dengan generasi terdahulu, menjadi kanak-kanak terlalu lama.

Seolah-olah hidup ini terlalu panjang untuk dihabiskan dalam alam bermain-main. Konon masih terlalu muda, belum dewasa.

Mungkin boleh dimaafkan jika sewaktu berusia 6-7 tahun kita masih sibuk bermain pondok-pondok di dalam semak atau menggetis keropok Golden Ring, bersenja dengan padang bola atau menonton kartun sebelum dikerah ibu pergi mandi. Solat ikut-ikutan sahaja, yang lelaki sesekali mengikut bapa ke masjid, mungkin diajar melaungkan bang sebelum berlari ke saf belakang.

Mungkin boleh dimaafkan, kalau ketika itu, kita masih belum mengenal Tuhan, belum peduli tentang dosa atau pahala.

Mungkin boleh dimaafkan jika sewaktu berusia sepuluh tahun kita masih leka dengan komik dan anak patung, atau ralit menonton rancangan nyanyian kanak-kanak bermekap tebal di TV9.

Mungkin boleh dimaafkan, kalau ketika itu, kita masih belum tahu apa itu Islam, apa itu iman, apatah lagi tentang dakwah, jihad, dan pengorbanan. Tentang perjuangan yang sudah menjadi zikir pada lidah dan anggota generasi terdahulu ketika meniti usia yang sama.

Namun masihkah boleh dimaafkan, jika kita sekarang, yang berusia belasan tahun – awal belasan, pertengahan, dan penghujung belasan – menghabiskan waktu bercinta-cintaan, patah hati dan jatuh hati berkali-kali dalam masa kurang satu bulan, menggilai artis pujaan, meratap-ratap apabila calon bintang tersingkir daripada rancangan realiti TV kegemaran, memastikan diri up-to-date dengan gaya paling terkini (tudung pelbagai fesyen, gaya rambut yang disembur dan dilumur gel, kemeja T dan jeans berjenama, mekap dan wangi-wangian yang sepadan), dan apabila ditanya tentang isu semasa, perihal agama, atau masalah dunia, mengangkat bahu tidak ambil tahu.

Sedangkan generasi terdahulu yang sebaya itu sudah berhenti menyangka hidup mereka terlalu panjang. Sudah sedar bahawa makna hayat adalah dengan berjuang. Sudah mengerti bahawa tanggungjawab terlalu banyak untuk ditanggung dan dipegang. Umur belasan tahun adalah umur baligh, bererti umur bilamana dosa dan pahala sudah dipikul sendiri.

Namun kita masih bermain-main – masih mahu menjadi kanak-kanak.

Setelah berusia dua puluhan pun – 20, 21, 22, 23… kita masih menjadi kanak-kanak. Kita terpesona benar dengan keindahan-keindahan dunia – harta, hiburan, lelaki dan perempuan – seperti kanak-kanak yang leka dengan permainannya. Lalu kita bermain, dan bermain, dan menyuakan pelbagai alasan apabila diajak untuk menjadi dewasa.

Ajakan itu datang daripada pelbagai punca.
Teman-teman yang sudah meninggalkan alam kanak-kanak, guru-guru yang sudah lama menjadi dewasa, atau suara hati sendiri yang merasakan sudah terlalu jauh beza antara kematangan dan usia. Namun, kita masih berpura-pura tidak sedar, seperti kanak-kanak yang meminta tangguh apabila disuruh ibu untuk mandi setelah senja tiba.

Meminta tangguh, belum mau menjadi dewasa, belum mau sedar dan bekerja, kerana belum bersedia. Meminta tangguh daripada siapa sebenarnya? Malaikat Maut?

Benarlah kata Tuhan dalam al-QuranNya,

Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sendagurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu. Surah al-Hadid, [57:20]

Apabila dibanding-bandingkan dengan zaman datuk, nenek, dan moyang, tidak dapat tidak, saya terfikir bahawa budaya dan kebiasaan kita, semakin menjadi moden, semakin mengkanak-kanakkan manusia. Semakin moden satu bangsa, semakin lama waktu yang diperuntukkan untuk anak-anaknya menjadi dewasa. Anak-anaknya diizinkan menjadi kanak-kanak lebih lama. Adakah kerana terlalu banyak yang perlu dipelajari, maka tempoh ‘matang’ itu diperpanjang? Adakah kerana jangka hayat yang bertambah, maka lebih banyak usia boleh dihabiskan bersenang-senang?

Alasan ‘belum habis pengajian’ itu menjadi syarat pelepasan yang membebaskan setiap ‘kanak-kanak’ ini daripada sebarang tanggungjawab. Daripada sebarang tanggungjawab selain daripada ‘menumpukan perhatian kepada pelajaran’. Tidak boleh melibatkan diri terlalu aktif dengan kegiatan-kegiatan persatuan, apatah lagi gerak kerja Islam, mohon dijauhkan kalau berani-berani menjinakkan diri dengan politik. Alasan ‘belum habis pengajian’ itu menjadi benteng sehingga ‘kanak-kanak’ ini bercinta-cintaan memendam rasa bertahun-tahun kerana tidak dibenarkan berkahwin. Lalu tidak sedikit yang menjadi mangsa, ‘kanak-kanak’ yang hilang kesucian, maruah dilepaskan, menjadi ayah dan ibu tanpa pentauliahan, tanpa ikatan.

Menjadi dewasa dan matang adalah kewajiban, adalah tuntutan, juga adalah fitrah yang tidak sepatutnya dihalang-halang.

Sampai bila mahu menjadi kanak-kanak?
Terkepung dalam dunia indah universiti, dunia riang-ria warna-warni di puncak menara gading, berlari-lari dalam taman bunga bersama sweetheart, sehinggalah ‘menerima segulung ijazah’, selepas itu automatik akan menjadi dewasa? Bukankah menjadi dewasa itu memerlukan latihan, memerlukan bimbingan?
Sempatkah kita belajar menjadi dewasa dalam kesibukan membina kehidupan selepas tamat pengajian, atau mungkinkah kita akan terus menjadi kanak-kanak juga hatta selepas meniti alam kerjaya, alam perkahwinan, dan melahirkan pula anak-anak yang tidak akan menjadi dewasa sampai bila-bila?

Saya bukanlah bermaksud menyeru sesiapa saja yang mahu melakukan apa-apa untuk bertindak sesuka hati, hanya kerana ‘mahu menjadi dewasa’. Tidaklah, contohnya, menyeru sesiapa yang mahu berkahwin sebelum tamat pengajian, merempuh apa saja rintangan semata-mata untuk memenuhi tuntutan fitrah.

Kalau kamu masih kanak-kanak, maka melakukan perbuatan orang dewasa tidak akan menjadikan kamu orang dewasa.

Kalau kamu – saya, kita – belum layak berkahwin, maka memaksa diri untuk mendirikan rumahtangga tidak akan tiba-tiba menjadikan kita matang dan bijaksana.

Soalnya di sini, mengapakah bangsa kita, zaman kita, generasi kita – mungkin generasi orang tua kita – mengizinkan, membiarkan, kita, menjadi kanak-kanak begitu lama?

Kesegaran dan kesuburan akal, semangat, dan iltizam menyebabkan usia anak-anak muda adalah usia terbaik untuk membentuk, menghasilkan, dan menggerakkan pejuang. Namun kita membiarkan usia muda itu habis dengan bermain-main dan bersukaria.

Tuntutan fitrah dan biologi mewaraskan anak-anak muda mendirikan rumahtangga dan membina keluarga pada usia awal – tidak terlalu awal, namun tidak pula melangkaui pertengahan dua puluhan. Namun kita membiarkan usia muda itu habis dengan bersenda gurau dan bergelak ketawa, bukannya mendidik dan membentuk mereka seawal mungkin untuk bersedia menjadi isteri dan suami, ibu dan bapa. Anak-anak muda ini diajar segala macam pengetahuan yang wajib dikhatamkan sebelum dibenarkan menjadi dewasa – segala macam pengetahuan, kecuali pengetahuan tentang menguruskan diri dan membina keluarga.

Menjadi kanak-kanak memang seronok. Kita dilepaskan daripada tanggungjawab. Hidup kita adalah bermain-main, berfantasi, sesekali beridealisme dan berdebat tentang itu dan ini. Teori dan kerja kanak-kanak tidak ubah seperti skrip permainan askar lawan penjahat atau ‘rumah’ untuk bermain pondok-pondok, yang dibina daripada ranting dan daun-daun kering. Sesekali watak Power Rangers, Cinderella atau Prince Charming akan tambah menceriakan suasana, dan kita merasakan betapa menjadi kanak-kanak sungguh bahagia.

Masyarakat, sistem, malah keluarga kita sendiri memberikan bermacam-macam alasan untuk kita terus menjadi kanak-kanak dan lari daripada kewajiban, daripada kedewasaan, untuk kita mengelak daripada mempersiapkan diri menuju kedewasaan.

Kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum baligh, insyaAllah akan meluncur laju ke syurga.

Bagaimana pula dengan ‘kanak-kanak’ tua yang usianya tamat, usianya renta, sebelum sempat menjadi dewasa, kerana terpesona dengan alasan yang dicipta oleh masyarakat, dicipta oleh sistem, dicipta oleh diri sendiri?

Terlalu panjangkah usia, sehingga mahu berlama-lama menjadi kanak-kanak yang ralit dengan permainan-permainan dunia?

Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik. Surah Ali Imran, [3:14]

Salam,
meow~

%d bloggers like this: