Monthly Archives: June 2008

Yang lepas dah terlepas, yang mendatang pastikan ditatang!

Bismillah.

Tak sampai pun lima hari senior di kolej meninggalkan kami.

Bagi pelajar junior seperti saya, kami cuma mempunyai setahun sahaja lagi sebelum kami mengikut jejak langkah mereka. Tinggi harapan kami, agar kami dapat memanfaatkan masa setahun ini dengan sebaiknya. Kami berdoa, agar kami tidak meninggalkan kolej nanti dengan penuh kekesalan.

Baru lima hari Majlis Wida’(perpisahan) di kolej. Tetapi Majlis Wida’ di sekolah dahulu pun masih tetap segar dalam ingatan.

Sambutan yang ringkas, hanya di Musolla Al-Hidayah dengan sesi bermaafan dan bersalam-salaman dengan seluruh warga aspuri. Bukan sengaja menangis-nangis, ya memang perempuan sangat mudah menangis, tapi pasti ada sebab yang ditangiskan. Bisik-bisik saya bersama Liyana Damanhuri, Exco Badan Disiplin Sekolah pada malam itu, “Dah selesai ke tugas kita, Yana..?” “Mission incomplete..”

Muhasabah kami bersama, sepanjang lima tahun kami di sana, apa sahaja yang telah kami lakukan. Memegang jawatan ini itu, tapi sejauh manakah kami berusaha memikul amanah tersebut. Sesudah melepaskan kesemua jawatan, baru ketika itulah dihantui rasa bersalah, adakah saya sudah melaksanakan tugas dengan baik atau tidak.

Baru sekarang terasa ingin betulkan ini itu. Terasa ingin meminta kembali kesemua jawatan tersebut. Ingin qada’ apa yang tertinggal.

Yang lepas dah terlepas..

Sepanjang memegang jawatan sebagai pengawas (kami panggil KP), dan juga Badan Dakwah & Kepimpinan (BDK), saya banyak bercakap soal peraturan sekolah sahaja. Jarang sekali mengaitkan dengan tarbiyah yang sebenarnya lebih mengetuk jiwa.

Teringat satu hari seorang adik XXX meminta bantuan saya untuk tolong menegur seseorang, “Kak Nova, akak nampak tak baju YYY tu, fit and pendek. Kak Nova tolong tegur boleh?” Sebenarnya saya memang dah nampak adik YYY tu memakai baju tersebut. Tapi saya tak punya kekuatan nak menegur. Baharu diminta adik XXX ni, barulah saya nak bertindak! Itupun.. saya tak betul juga. Saya hanya mengaitkan dengan peratuuran sekolah – mesti baju bawah punggung.

Tidak pula saya meneyelitkan unsur tarbiyah sebenar; entah-entah nanti adik YYY tu fikir, di sekolah saja tak boleh pakai, tapi di tempat lain boleh! Mudah-mudahan tidak..

Banyak lagi contoh lain sebenarnya. Selaku KP dan BDK, saya selalu menerhadkan peraturan sebagai peraturan sahaja. Sebagai contoh, BDK ada menetapkan waktu lewat solat. Solat Zohor paling lewat jam 2.45petang. Selepas pada waktu itu, kami akan mengambil nama mereka yang lewat untuk tindakan disiplin.

Sekarang baru saya terfikir, kalaulah kami berjaya menerapkan kefahaman mengapa perlu solat awal, apa hukum melewatkan solat secara sengaja, maka peraturan itu tidak perlu diwujudkan pun. Ia tidak praktikal sama sekali.

Hanya menambah beban BDK untuk penat-penat mengambil nama. Semua orang dengan kesedaran sendiri akan berpusu-pusu solat di awal waktu. Tidak perlulah kakak-kakak atau kawan-kawan sebilik bertanya banyak kali, “Korang (BDK) ambik nama pukul berapa?”

Mereka ni takut kami ambil nama atau takut azab Allah..?

Memang tak mustahillah pemberontakan sering saja berlaku, seperti penat mendengar tentang peraturan. Yang lebih menyedihkan, ada yang mempertikaikan soal memakai sarung kaki atau tidak. Soal tudung labuh. Soal lewat solat. Soal peraturan-peraturan yang menjadi imej para pelajar sekolah agama; yang telah kami warisi sejak sekian lama. Sebenarnya tentang soal muslimah atau tidak!

Di situ terserlah kesilapan kami. Kami tidak punya hujah. Apa yang kami jawab pun melihat kepada buku peraturan sekolah. Tidak pula kami respon berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Patutlah hujah goyah, mudah saja dipatah-patah. Ya Allah.. ampunkan kami. Kami belajar dari kesilapan.

Sekarang baru saya sedari, betapa penting kita mempunyai hujah. Mungkin kita tidak akan setara dengan Hujjatul Islam, Imam Ghazali. Beliau memang pandai berhujah untuk menegakkan yang haq. Tapi setidak-tidaknya ilmu yang ada itu perlu kita praktikkan dengan optimum.

Bagi saya (kini), pendidikan di sebuah sekolah agama sepatutnya sudah melayakkan kami faham tentang asas-asas fiqah untuk menjawab persoalan-persoalan yang diajukan. Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah yang menjadi subjek teras di sekolah sepatutnya sudah cukupmembantu dalam hal ini.

Bukannya kita tidak belajar tentang cara istinbat hukum. Bukannya kita tak belajar tentang sebab nuzul ayat atau sebab wurud hadis. Bukannya kita tak diajar tentang dalil-dalil yang disepakati atau tidak. Bak kata seseorang teman, sebenarnya ilmu-ilmu tersebut adalah Fardhu Ain, bukan Fardhu Kifayah!

Mungkin penghayatan kita kurang.. Kita tak ‘menggunakan’ semaksimum mungkin ustaz-ustazah yang sangat ramai di sekolah. Kita tak menghargai iklim dini yang ada. Dan lebih berat pula ‘kesalahan’ bagi yang memegang tampuk pimpinan, kita mempunyai ‘kuasa’ di sekolah dan asrama, mengapa tidak kita selitkan unsur tarbiyah ketika melaksanakan peraturan?

Peraturan dicipta bukan untuk menghukum, tetapi untuk mendidik. Ah.. menyesal kemudian memang tak berguna.

La yuldaghul mu’min min juhrin marratain.

Orang mu’min tidak dipatuk satu lubang dua kali. (Riwayat Bukhari)

Saya tidak mahu mengulang kesilapan sama. Itu bukan ciri-ciri orang mu’min!

Kalau ada kawan-kawan junior yang terbaca tulisan ini, mari sama-sama kita manfaatkan setahun yang ada di kolej ini.

Kalau kita tidak mempunyai sebarang jawatan yang diamanahkan pun, kita tetap memegang amanah yang sangat besar daripada Allah – menjadi khalifah di bumi-Nya. Jadi, kita tetap mempunyai peranan di mana sahaja kita berada.

Yang mendatang pastikan ditatang!

Jangan kita menyesal apabila keluar daripada kolej.

Jangan kita tak keruan bila malaikat tanya, apa yang kita dah buat selama dua tahun di kolej……….?

Advertisements

bukan mahram la kak..

Sebetulnya saya ingin mengulas serba sedikit tentang Charity Programme baru-baru ini dalam blog.

 

 

Tetapi memandangkan hujung semester yang sarat meeting dan aktiviti, tak sempat-sempat nak mengupdate blog. Sekarang di rumah pula tiada internet. Jadi saya batalkan sahaja hasrat untuk ulasan tersebut.. macam cerita sudah basi. Lagipula sudah banyak ulasan daripada bloggers lain, termasuk di blog muscom sendiri.

Antaranya, klik:

Musolla Community

Fikri Zamzam

Amira Kartun

Syafiq Helmi

 

Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan program ini. Saya balik dengan penat, namun kegembiraan mengubati kepenatan. Sangat banyak memberi input kepada saya, alhamdulillah.Syabas semua!

 

Cuma ada satu adegan yang suka untuk saya kongsi bersama.

 

Ketika pembahagian kumpulan, saya dipertanggungjawabkan untuk menjadi fasilitator kepada pelajar Tingkatan 1-3. Mula-mula saya mengumpulkan semua perempuan, kira-kira 11orang. Kemudian saya mendapat arahan untuk menyamaratakan bilangan lelaki dan perempuan. Akur, saya pun minta kepada adik-adik tersebut, saya mahu lima orang sahaja daripada mereka.

 

Mereka tak mahu. “Ala..semua perempuan je la kak,”

Saya suarakan kepada yang bertanggungjawab dalam slot ini, “Diorang nak semua perempuan jugak la,”

Dalam keadaan sibuk-sibuk itu, sekali lagi saya menerima arahan, dalam satu kumpulan, mesti ada lelaki dan perempuan. Baik, pasrah saja..bertindak mengikut arahan.

 

Saya pergi kepada adik-adik tersebut, “Boleh tak dik, akak nak lima orang je. Sori sangat..”

Mereka seperti malas nak menjawab. Ada yang sedikit menarik muka. Saya keliru. Mereka mahu semua perempuan juga.

 

Tiba-tiba ada ada yang bersuara, “Biar semua perempuan lah kak.. Bukan mahram campur-campur ni,” Lebih kurang begitulah ayatnya.

 

Ouch! Satu tamparan buat saya. Dalam hal sekecil ini pun saya boleh keliru!

Bagus dik, berani. Bagus!

 

Walaupun saya ‘kakak’, tapi saya sendiri tak kuat pegangan. Dalam keadaan kelam-kabut, saya selalu bagai dibawa ribut. Memang kakak yang tak boleh dijadikan contoh.huu.

Kesimpulannya? Boleh sama-sama kita fikir sendiri.

 

 

La takunu imma’atan taqulu in ahsanan nas ahsanna, wa in zalamu, zalamna. Walakin, wathinnu anfusakum in ahsanan nas an tuhsinu wa in asa’u fala tazlimu.

 

Janganlah kamu menurut tanpa meneliti, kamu berkata; Jika orang berbuat baik kami pun berbuat baik, dan jika orang berbuat zalim, kami juga berbuat zalim. Tetapi hendaklah kamu tetapkan hati dan biasakan diri kamu. Jika orang berbuat baik kamu pun berbuat baik, jika orang berbuat jahat, janganlah kamu berbuat zalim.” (Tirmizi)

Allah merahmati wanita yang berseluar panjang

 يرحم الله المتسرولات

Ertinya : “Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya)” (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) .

Saya sedikit teruja ketika seorang sahabat bercerita tentang hadis ini kira-kira lebih setahun yang lepas. Saya tidak menyangka perkara yang dipandang agak kecil ini pun dititikberatkan dalam agama. Memang Islam itu syumul (menyeluruh), tidak syak lagi.

Menurut Imam Mujahid, hadis ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata, “Dia (wanita itu) memakai seluar.” Lalu sebagai respon Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadis di atas. ( Al-Bayan wa At-Ta’rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)

Alhamdulillah, panduan yang sangat baik untuk para mukminah.

Baru-baru ini, saya menghadiri satu meeting di musolla. Ketika itu saya masih mengenakan pakaian daripada kelas sejak pagi tersebut, iaitu sepasang jubah labuh. Jubah tersebut berbutang banyak yang tersusun sehingga ke bawah.

Duduk di lantai menyebabkan saya asyik bertukar posisi, daripada bersimpuh kepada bersila, dan begitulah seterusnya. Satu pengajaran cukup bermakna Allah tunjukkan kepada saya, untuk saya lebih menghargai hadis ini (lucu apabila difikirkan).

Tiba-tiba sahaja ketika saya ingin bertukar kepada duduk bersila, (mungkin terlampau khusyuk meeting sehingga kurang berhati-hati), satu bunyi pelik kedengaran, Aduh… Kain jubah saya pecah di bahagian butangnya atau dengan kata lain menyebabkan butangnya tertanggal. Ganas sungguh.

Mujurlah hadis ini diamalkan. Alhamdulillah.. Tidak beri kesan sampingan ;p

Kalau tidak ada jubah di luar itu pun tak mengapa, kerana apabila mengenakan jubah, memang baju berlapis-lapis di dalam. Jadi, buat muka tebal sahajalah. Haha.

Taubat selepas ini akan lebih berhati-hati terutamanya pada baju-baju ‘berusia’ sebegini. Sudah hampir mencecah 8 tahun, wajarlah kainnya seperti mereput dan mudah koyak.

Terima kasih kepada saudara-saudara semeeting yang buat-buat tidak perasan ;)

selamat tinggal..

Ukhuwwah memang manis.

Lebih manis daripada choki-choki yang dijual oleh kak dayang & kak ajah,

lebih manis daripada sagu dan air sirap di khemah jamuan tadi.

Sebak..

Saya ingatkan saya tidaklah sebegitu sedih.

Saya ingatkan saya tidaklah akan menangis.

Rupanya saya perasan.~

Sedih juga apabila senior akan meninggalkan kolej ini…

lagi-lagi yang agak rapat.

lagi-lagi yang selalu kuatkan semangat.

lagi-lagi yang selalu beri nasihat..

terima kasih semua!

semasa induction week dulu semua seniors asyik bercakap tentang friendship. dulu, iyekan aje. tapi ingatkan macam zaman sekolah juga.

tapi hakikatnya lain..

perkenalan dengan seniors banyak di surau.. di musolla yang penuh barakah..

mereka tak macam seniors pun. mereka macam kawan sebaya je. tak sedar pun mereka lebih tua. mungkin kerana dah terbiasa duduk asrama, memang ada gap antara juniors dan seniors.

tapi di kyuem lain.. saya baru faham ukhuwwah fillah.. mereka tak berkira, walau kita siapa.. kalau super seniors pula, tak rapat pun, tanpa sebarang sebab, cuma mardhatillah, tetap menjalin ukhuwwah.. bila balik malaysia, menjenguk kami.. kalau di uk, tak kisah pun nak telefon selalu..

terima kasih semua..

terima kasih semua..

atas memori indah ini. memang manis!

orang kata, patah tumbuh hilang berganti

tapi, samakah yang baru dengan yang lama..?

saya tak mahu sedih. ini salah kakak-kakak kerana menangis di depan saya!

pertemuan kita di musolla as-saad,

memori kita kugenggam erat,

kuatkan hati kuatkan tekad,

di jalan Allah kita berjihad !!

%d bloggers like this: