Monthly Archives: April 2008

Nilai pakaian anda..

“Baju ni cantik, mesti mahalkan.,” soalan yang biasa kita dengari.

Soalan saya pula, adakah semestinya yang cantik itu mahal?

Jawapan saya tidak!

Pengguna yang bijak, mesti bijak memilih.

Saya tergaru-garu kepala sendiri kalau ada yang tanya,
“Baju ni sampai tak RM50?”

Oh tidak.. bukanlah saya, jika menggunakan RM50 hanya untuk sehelai blouse-kecuali terpaksa. Saya boleh dapatkan 3 blouse dengan duit sebanyak itu.. Malah kadang-kadang lebih lagi!
(mungkin sebab itu saya jarang-jarang membeli t-shirt/baju di kolej..biasanya mencecah RM30++ untuk sehelai baju.Tak mampu la ;p)

“Ye ke..kat mana nak cari semurah tu!”.

Sekali lagi, kita kena bijak memilih. Banyak kedai yang murah..tak pun, pasar–pasar malam/pagi?

Bagi saya, tak semestinya baju yang murah itu tak berkualiti.

Kalaupun mungkin kualitinya agak rendah berbanding yang mahal-mahal, kita pula kena pandai menjaganya. Menguruskan pakaian pun ada tekniknya.

Ada antara kita tidak kisah, asalkan baju bercuci,bersih, sudahlah..

Ketika menjemur, kita lengah sahaja, tak mahu pun menerbalikkannya.

Nampak seperti remeh sahaja bab menerbalikkan baju ni.

Tapi, kita belajar sains kan..ada effectnya cahaya matahari tu pada baju. Baju berwarna akan cepat pudar kalau terlampau didedahkan dengan cahaya.
Kalau baju putih, yang itu jangan pula diterbalikkan. Baju putih lebih baik didedahkan pada cahaya panas matahari. Supaya putihnya lebih bersinar.

Tak mahu ke kita menyayangi pakaian kita.. Boleh tahan lama.
Tak perlu selalu membeli pakaian baru.

macam banyak, tapi semua baju barukah?(gambar diambil pada sem lepas)

Sehingga sekarang, ada baju sejak darjah 5 (saya memang cepat membesar~) yang masih elok dipakai lagi, dan menjadi baju sehari-harian ke kelas.
Warna tak pudar sangat, tapi bila dibandingkan bahagian dalam dan luar, memang jauh beza warnanya. Kerana yang dalam dah pudar–> terdedah kepada cahaya apabila dijemur!

Kalau nak ikutkan, memang banyak lagi baju yang boleh pakai dari sudut kualitinya, cuma masalah saiz sahaja.. =)
Bila dapat kumpul baju-baju tahun demi tahun, maka memang banyaklah koleksi baju. (ni sebenarnya nak menjawab, ramai kata saya banyak baju..Macam orang kuat shopping. Tidak pun sebenarnya. Hari raya pun kadang-kadang tak beli baju baru..Kebanyakan baju cuma diberi nafas baru sahaja)

Sayangi pakaian anda!

p/s:

Tidak pula mahu melarang anda membeli baju yang mahal-mahal. Bergantung kepada kemampuan masing-masing.

Bak kata abang, “Dah kalau duit banyak, tak kisahlah. Nak buat apa lagi,”

Cuma, sama-sama renungkan, jika duit di tangan RM50, niat kita –mesti habiskan duit ni.
Kita ingin membeli sehelai baju dan bakinya mesti disedekahkan(ini contoh sahaja). Jika baju berharga RM45, yang dapat disedekahkan cuma RM5. Tapi, katakan dapat membeli baju sebanding yang berharga RM15, berapa banyak yang boleh kita sedekahkan? Dan berapa banyak pula orang yang dapat dibantu berbanding dengan RM5?

Firman Allah dalam surah Al-Isra,17 ayat 29:

“Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu,dan janganlah pula kamu menghulurkannya dengan sehabis-habisnya,kerana itu kamu menjadi tercela serta menyesal.”

Tapi, renungkan juga, tidak semestinya nilai wang sedekah yang lebih besar itu, lebih besar pula di sisi-Nya!

Advertisements

Kita berbeza..

 

Terasa, sering sahaja fikiran ini berbeza daripada orang lain.

 

Mengapa ya?

 

Ketika orang lain berfikir A, aku bukan setakat fikir B, malah C! Jauh berbeza.
Ketika orang lain kata ‘ya’, hatiku katakan ‘tidak’. Cuma kadang-kadang malu menjadi ganjil, buat-buat katakan ‘ya’. Ah, hipokritkah..?

Ya, bukan aku seorang saja begini. Ramai juga yang sepertiku. Cuma lazimnya kami golongan minoriti.

 

Terkenang memori Muslim Youth Camp, MYC.

Usai menjawab personality test, kami dipecahkan kepada 4kumpulan;
Rambai, Limau, Pisang
dan Tembikai.

Pada awalnya sedikit aneh kerana pembahagian kumpulan amat tidak sekata. Berdasarkan pengalaman-pengalaman ujian personaliti sebelum ini, tiada pernah – perbezaan yang amat ketara antara satu kempulan dengan kumpulan yang lain.

Kumpulan Rambai, ramai sekali ahlinya, melebihi 30 orang.

Sedangkan tembikai, aduhai, 11 orang je kot!

 

Antara ciri-ciri Rambai:
Fleksibel
Kreatif
Suka bekerja dalam kumpulan
Pekerjaan dan hiburan seimbang

 

Antara ciri-ciri Tembikai:
Sangat suka menganalisis
Membahaskan pandangan
Mencari penyelesaian
Menentukan nilai atau kepentingan sesuatu perkara

Maaf ya, yang si Limau dan Pisang tak mahu diulas, kerana mereka tak begitu ketara. =)
Bilangan mereka pun sedang-sedang aja..

 

Antara yang menarik perhatian, mengikut ulasan penceramah, memang setiap kali ujian personaliti ini dijalankan, di mana-mana sahaja, sama ada dalam organisasi, atau sekolah-sekolah, pasti kumpulan Rambai yang paling ramai, dan Tembikai yang palik sedikit. Wah!

Bermakna, boleh dibuat hipotesis, dalam dunia ini pun mungkin Rambai yang paling ramai, dan Tembikai yang paling sedikit.

Tambah penceramah, melihat pada ciri-ciri Rambai, mereka golongan yang mudah didekati, dan merekalah penghibur dunia ini. Tanpa mereka, sepi bumi ini. Kuantiti mereka yang ramai tidak membahayakan, kerana mereka fleksibel dan boleh bekerjasama secara berjemaah.

Malang si kumpulan Tembikai, eh tidaklah malang pun.. Agak bahaya kalau mereka ini terlampau ramai di dunia. Mereka golongan pemikir dan penganalisa yang memang diperlukan, tapi bukan dalam kuantiti yang banyak. (Adil ciptaan Tuhan ini…mungkin sebab itu kami sedikit!)

Andai terlampau ramai Tembikai, bak kata penceramah, “Tak bergerak organisasi, diorang asyik komplen je.. Asyik nak bahaskan isu je..”

Pernah terjadi di negara komunis Russia, pemerintah mengarahkan semua pemikir agar dipenjarakan. (tak tahulah cerita bentul ke tak) Kerana mereka asyik membahaskan itu ini. Letih pemerintah nak melayan agaknya. Lagi-lagi orang komunis kan..tentu banyak komen pemikir-pemikir rakyat ni..

 

Aduh, terkena batang hidung sendiri.

“Tapi, tak jalan juga organisasi tu kalau takde langsung Tembikai. Mereka biasanya pencetus. Mereka buka minda orang lain untuk berfikir daripada sudut berlainan.

Ya..mungkin ada benarnya.

Sejak kecil sangat selalu berfikir, mengapa diri sentiasa lain daripada orang lain? Mengapa mereka tidak pernah berfikir sepertiku? Adakah aku seorang saja yang aneh?

Seolah-olah diri ini terlampau agresif.. kadang-kadang reaktif. Ya, mengaku, kelemahan diri. Sedang cuba memperbaiki.

Terkadang, apabila terasa diri asyik ‘ganjil’ daripada orang lain, lebih rela menjadi pak turut. Tak mahu selalu sangat ganjil, selalu sangat pelik. Cukup-cukuplah nama sendiri, Nova Adila, yang selalu dikomplen agak ‘pelik’ bagi yang baru berkenalan.

Seperti bunyi merintih pula. Eh, tidak. Itu zaman jahiliyah dulu. Kini, syukurku seadanya pada nikmat Dia yang tak terhingga.

Indahnya dunia ini keana kita ‘berwarna-warni’. Pelbagai pendapat, pelbagai ragam. Andai semua sama..mungkin bosan juga.

Aku sendiri, tak seronok rasanya bila bercakap, orang mendengar sahaja. Bagi pendapat peribadi, seolah-olah seperti aku memaksanya mendengar, bukan kerelaannnya. Sebab itu, suka bercakap dengan orang yang suka membantah percakapanku, ataupun, setidak-tidaknya memberi pandangan mereka pula.

Andaikan ada yang membantah percakapanku, awal-awal memang sedikit geram juga, tetapi Allah saja mengetahui, betapa aku sangat suka jika bertemu dengan orang sebegitu…(kerana sangat sedikit mereka ini!)

Mereka membuka mataku. Mereka akan membuatku berfikir (memang sangat lama kalau berfikir~) dan menyebabkan tak senang dudukku. Betapa indah mereka ‘mengaktifkan’ hidupku!

Mengantuk sudah.

Oh ya btw, penceramah ketika itu ialah Al-Fadhil Ustaz Pahrol Juoi, dan Ustaz sendiri mengaku dirinya adalah dari kategori Tembikai.

Mesti disambung entri ini. Seperti cerita tergantung.

 

We’re equal, but not the same..complementing each other.
Dare to be different!

dari meja Syu’bah Usrah & Qiadah

APA ITU USRAH?

Dari segi bahasa, perkataan usrah (bahasa Arab) bermaksud keluarga. Kamus Dewan Edisi Ketiga pula menyatakan, usrah ialah perkumpulan yang melibatkan kegiatan agama seperti perbincangan tentang sesuatu tajuk agama dan sebagainya.

Dari segi istilah, usrah ialah ikatan perpaduan yang dibina atas dasar iman dan Islam dengan berusaha tolong-menolong sesama sendiri untuk memahami dan menghayati Islam; berusaha mempertingkatkan ilmu dan amal, dan menghindari maksiat dan permusuhan berdasarkan firman Allah (maksudnya):

“Bertolong-tolonganlah kamu berbuat kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya dan takutlah kepada Allah.” [Al-Maidah, 5:2]

SALAH TANGGAPAN TERHADAP USRAH

Konsep pemahaman awam yang SALAH tentang usrah :

· Usrah adalah kelompok kecil (halaqah) yang membincangkan hal-ehwal agama semata-mata (seperti definisi daripada Kamus Dewan di atas).
· Usrah berbentuk diskusi yang dilakukan di surau atau masjid sahaja.
· Usrah berbentuk satu hala, naqib menyampaikan dan ahli usrah mendengar sahaja.

Usrah yang sebenarnya adalah berdasarkan konsep ukhuwwah yang menuju keredhaan-Nya. Usrah tidak berbentuk rigid dan skema, serta bukan berdasarkan konsep halaqah atau liqa’ semata-mata.

Usrah perlu dibezakan dengan kuliah, perbincangan atau majlis-majlis ilmu yang lain.

Majlis-majlis ilmu boleh didapati dalam usrah, tetapi majlis ilmu tidak semestinya usrah.

Usrah mencakupi aspek yang luas, seperti definisi bahasanya yang bermaksud keluarga.

· Jika hubungan sesama ahli keluarga adalah rapat dan saling mengasihi, maka itulah ciri-ciri usrah.
· Jika sesama ahli keluarga boleh berkongsi pendapat dan masalah, maka itulah pengisian usrah.
· Jika masa yang ada sering diluangkan bersama dalam keluarga seperti makan bersama, bermain bersama, maka itulah amalan dalam usrah.

MENGAPA USRAH?

KEMBAR IMAN ITU UKHUWWAH

Tidak syak lagi, ukhuwwah itu amat penting dalam setiap penjuru kesinambungan hidup. Ibarat biri-biri yang bersendirian di tengah padang, mudah saja menjadi mangsa serigala. Namun, andaikan biri-biri sentiasa bergerak dalam kumpulan, serigala pun takut mendekati kerana yang banyak itu tentunya tampak lebih kuat.


Begitu juga perihalnya kita sebagai manusia. Bertindak secara jemaah itu sangat penting agar survival dakwah lebih kuat dan berjalan lancar.

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” [Ash-Shaff, 61:4]

Dalam meneruskan kehidupan sehari-harian, kita tidak terlepas daripada godaan syaitan dan tuntutan nafsu yang mengajak menuju kemurkaan-Nya. Iman di dada acapkali turun naik dalam pertarungan antara yang hak dan batil. Di sinilah, ukhuwwah memainkan peranan mega kerana sahabat yang baik akan saling mengingatkan antara satu sama lain.

Firman Allah:
“Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.” [Adz-Zariyat, 51:55]

Apabila ada yang hampir tergelincir daripada landasan haq, di situlah akan ada teman yang menyelamatkan.
Apabila ada yang semakin lari daripada tuntutan Islam sebenar, di situlah akan ada teman yang mengejar memanggil pulang.

PEMBUDAYAAN ILMU YANG BERTERUSAN

Pengisian dalam liqa’ usrah adalah satu bentuk muzakarah ilmu yang memang sangat digalakkan oleh Islam. Ilmu itu sangat penting, dan sesungguhnya Allah meninggikan darjat orang-orang yang berilmu.

“Katakanlah: ‘Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’ Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” [Az-Zumar ,39:9]

Dengan ilmu, seseorang itu dapat membezakan antara yang hak dan batil. Dengan ilmu jualah sesorang itu mampu menyebarkan risalah dakwah kepada orang lain.

Jika diselak sejarah lampau, antara faktor kekuatan empayar Islam suatu ketika dahulu adalah daripada sikap tamadun semasa yang sangat menghargai dan membudayakan ilmu pengetahuan. Nah, bukankah kita ingin mengembalikan zaman kegemilangan Islam?

Walaupun perkongsian ilmu dalam liqa’ bersifat lebih santai dan tidak termasuk dalam silibus pembelajaran, tetapi setiap butir kalimah yang dikongsi itu akan bercambah dengan baik jika bijak memanfaatkannya. Dan sesungguhnya, hanya Allah jua yang layak menilai sejauh mana usaha kita mencari ilmu pengetahuan ke arah menggarap hidayah daripada-Nya.

Wajib ke pakai telekung?

“Telekung surau ni kotor laa..camne nak semayang,”

“Saya lupa bawa telekung, nanti saya qada’ aje solat bila sampai rumah,”

Skrip biasa, terutamanya di shopping complex.

Sepertinya solat itu tidak penting, boleh saja diqada’-qada’.
Yang lebih penting adalah telekungnya. Tiada telekung, tak boleh solat!

Begitukah?

Jika diamati syarat sah solat, cuma 5 perkara:

  • Yakin telah masuk waktu
  • Menutup aurat
  • Mengadap kiblat
  • Suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat
  • Suci daripada hadas kecil dan hadas besar

Tercari-cari juga, tiada pula dalam list – Wajib memakai telekung.

Jadi, wajibkah?

Mengapa hendak dipersulit dan diperberatkan hukum-hakam Islam yang sebenarnya cukup mudah dan simple.

“Dan tidaklah Allah jadikan bagi kalian dalam agama ini kesulitan.”
[ Al-Hajj : 7]

Yang pentingnya dalam soal berpakaian ketika bersolat ialah menutup aurat dan bersih daripada najis. Apa sahaja pakaian kita, jika memenuhi 2 syarat tersebut, maka tidak perlulah ragu-ragu lagi.

Telekung cuma adat, bukan syarat. Majoritinya, hanya wanita-wanita di benua Nusantara yang mengamalkan adat ini. Sememangnya tidak salah bertelekung, malah sangat baik sebenarnya, kerana lebih sopan dan selesa. Cuma jika ia dijadikan sandaran yang akan mencacatkan solat kita, maka itulah prinsip yang salah.

Pilihlah mengikut keselesaan dan yang mana lebih mudah. Jika merasakan bertelekung lebih mudah, maka itulah yang terbaik. Bagi saya sendiri, jika solat sehari-harian di rumah atau di kolej, saya lebih selesa bertelekung. Cuma apabila dalam keadaan tergesa-gesa atau berpergian, maka pakaian yang ada sahaja sudah amat memadai. Yang penting, cukup syarat.

“Eh, betul ke ni.. Nampak pelik la kalau tak pakai telekung. Macam tak sempurna je tutup auratnya..”

Untuk persoalan sebegini, mungkin perlu ditanya kembali diri kita. Jika kita merasakan pakaian kita itu tidak cukup sempurna untuk bersolat, jadi, adakah kita sekarang ini tidak menutup aurat..?

%d bloggers like this: