cuba..cuba..dan teruskan mencuba!
Teringat pada sms terakhir seorang kawan saya, Fatimah ketika kami ada sesuatu perkara yang dibincangkan pada suatu pagi yang sangat pagi;
“No harms trying,”
Ya betul. No harms. Tapi kita mudah sangat putus asa kan?
Lebih-lebih lagi jikalau perkara yang cuba sekali akan gagal, mudah kita beralah, tak mahu mencuba buat kali kedua, apalagi yang ketiga.
Mengapa ya..mari kita nilai semula diri masing-masing.

Ayah saya selalu mendidik kami agar bersungguh-sungguh dalam mencuba. Kalau kami adik-beradik menginginkan apa-apa, sangat, sangat susah untuk mendapatkannya. Maka kami kadang-kadang prefer jumpa ibu sahaja. Lebih mudah. Akal kanak-kanak.
Ingin meminta duit kerana cikgu suruh membeli buku misalnya, aduh..sangatlah susah. Meskipun hanya dua ringgit. Di interview bagai nak buat long-term-loan dua juta. Kadang-kadang terpaksa menangis dulu, itupun tak tentu lulus juga.
Itulah ayah saya. Unik. Alhamdulillah, bila dah besar ni, banyak kesannya pada diri sendiri. Kadang-kadang bila ayah memberi nasihat, ayah akan ungkit,
“Ingat, semua benda kena usaha sungguh-sungguh. Bukan mudah nak dapat apa yang kita nak. Kena cuba banyak kali, sampai dapat. Ingat, nak minta duit sikit daripada ayah sendiri pun susah, apalagi nak meminta pada dunia yang tak kenal kita.“
Memang betul, pa!
Dan sekarang, bila dah besar ni, ayah dah tak macam tu lagi. Dah tak perlu minta, ayah yang akan beri sendiri. Dah tolak-tolak, “Takpe pa, ila ada duit lagi,”, ayah tetap hulurkan juga.
Oh, rupanya dulu-dulu kedekut tu nak ajar kami je!
Berbalik kepada mencuba, ada satu proverb Inggeris,
If at first you don’t succeed try, try and try again!
Dan kalau sesuatu yang kita cuba, letakkan niat kita seadilnya (pada tempatnya). Supaya, jikalau kita tak berjaya, tiadalah kita tergolek kesedihan, kan? Sandarkan semuanya pada Allah, percaya pada janji-janji-Nya, tidaklah kita sekecewa mana dan yakinlah akan hikmah di sebaliknya..
وَلاَ تَتَمَنَّوْاْ مَا فَضَّلَ اللّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُواْ وَلِلنِّسَاء نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ وَاسْأَلُواْ اللّهَ مِن فَضْلِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيماً
Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. [An-Nisa', 4:32]
Dan kadang-kadang, jika kita teruskan mencuba, katakan tidak berjaya di zaman kita, mungkin di zaman generasi selepas kita. Mungkin di zaman cucu-cicit kita. Elok juga kita mencuba, kan? Kita beri manfaat kepada orang lain.
Dirujuk sirah, Rasulullah saw pernah menasihati Abu Dzar, andai kamu tahu esok kiamat, dan di tanganmu masih ada benih yang boleh ditanam, maka tanamlah.
Pelik juga, dah nak kiamat, buat apa sibuk-sibuk nak tanam benih lagi..?
Rupanya, itu satu bentuk kiasan yang Rasulullah ajar pada kita, untuk terus berbakti. Kalau bukan kita yang dapat manfaatnya, kita mendapat ’saham’nya juga untuk manfaat orang lain. Tak rugikan kita mencuba..?
Seterusnya, bagaimana pula dengan mencuba sesuatu yang baru?
Pun kita kerap kali takut juga. Takut kita terbawa idea ‘pelik’ yang orang lain tak boleh terima. Takut orang kritik. Takut tiada support.
Memang, risiko akan ada setiap kali mencuba. Tapi, bak kata Guru Accounting saya, “High Risks, High Returns”.
Kadang-kadang, kita beri cadangan(cubaan), mungkin idea kita tak begitu bernas. Tetapi, bukankah kita menjadi ‘pemula’ kepada idea-idea bernas yang lain? Walaupun mungkin idea kita ditentang ramai pihak, tetapi fikirkan pula potensi untuk mereka berfikir semula, dan mendapatkan idea yang lebih hebat daripada idea asal. Tak mahukah kita turut serta menyumbang?
Mengimbau sejarah Malaysia, ketika Dato’ Onn Jaafar mencadangkan keahlian UMNO dibuka kepada semua kaum, orang Melayu memang menentang hebat. Sampai merajuk-rajuk Dato’ Onn. Akhirnya, beliau meletak jawatan.
Kemudian, kita lihat pula, beberapa ketika selepas itu, di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman, beliau memanipulasi sedikit idea asal Dato’ Onn. UMNO bergabung dengan beberapa parti kaum lain, membentuk Parti Perikatan.

Kelihatan agak sama trend nya kan? Membuka keahlian kepada kaum bukan Melayu. Tapi, orang Melayu tak menentang sangat pun. Penerimaan juga tidak seperti yang diterima Dato’ Onn.
Secara peribadi, saya amat kagum dengan Dato’ Onn dalam hal ini. Beliaulah ‘pemula’ yang berani mencuba, mencadangkan perkara yang baru. Dikritik hebat ketika itu. Sekali pandang, beliau seperti tidak berjasa, tetapi, bukankah beliau perintis kepada kecemerlangan Parti Perikatan selepas itu, melalui idea awalnya yang langsung ditepis hebat semua orang Melayu? Mungkin juga orang Melayu tak menentang sangat sebab mereka baru ‘nampak’ kepentingan bersatu dengan kaum lain, yelah, pemimpin-pemimpin asyik mencuba je..
Dan manfaatnya? Mungkin bukan Dato’ Onn tidak mendapatnya secara langsung, tetapi, beliau telah memberi manfaat yang cukup besar kepada orang lain. Berjasa, meskipun ramai yang terlepas pandang.
Di kolej saya sendiri, antara satu usaha ‘mencuba’ perkara baru yang cukup mengharukan saya, ialah usaha kakak-kakak kami nak meramaikan jemaah subuh di surau. Saya sendiri sejak sekolah meragui ‘kempen’ mengejut subuh pagi-pagi jika sesama perempuan. Sebelum ini, saya selalu menganggap, perempuan tak beberapa sesuai diwujudkan skuad subuh. Kenapa ek? Hanya perempuan je la yang faham kot..
Kalau laki-laki, lainlah. Itu pandangan saya sebelum ni. Sejak sekolah, kalau ada yang bangkitkan idea skuad subuh untuk jemaah perempuan, saya (dan biasanya ramai lagi), menganggap cubaan itu tak beberapa praktikal.
Tapi terkejut sekali, kakak-kakak ni, yang dikepalai Kak Ajah, Kak Nurul, Kak Akma ,Kak Fatin (tak kisah kan saya letak nama ni..?) dan mungkin ada nama lain yang tertinggal- mereka berusaha sangat. Kagum.
Malam-malam, sewaktu agak ramai jemaah Maghrib dan Isya’ mereka approach sorang-sorang jemaah, ada sesiapa yang mahu mereka kejutkan, mereka boleh tolong datang ke chalet, ketuk tingkap bilik masing-masing. Ya Allah, rajinnya!
Pernah saya bertanya, dan jawapan mereka, “Kita cuba dulu, mesti ada orang yang nak. Kalau ada yang bangun tu, Alhamdulillah kan..Yang penting, kita cuba.”

Syabas kakak-kakak!
Saya sebelum ini, setakat bersama beberapa orang kawan, cuma main-main misscall antara satu sama lain je. Itupun tak sebarkan pada orang lain. Antara-antara kami sahaja lah. Tak pula ada semangat nak kembangkan usaha ini kepada orang lain. Bila ada orang yang minta, baharulah kami tolong kejutkan. Inilah contohnya, tak nak mencuba. Usaha mengejutkan orang bangun pagi-pagi ni..usaha yang sangat murni!
Hasil daripada usaha kakak-kakak ni, Alhamdulillah, sangat memberangsangkan! Kalau dulu, jemaah muslimat subuh-subuh sangatlah sedikit, purata 3-4 orang sehari, sekarang record tertinggi kami: 26 orang. Satu usaha mencuba yang sangat baik,kan? Tak tergambar kegembiraan kakak-kakak ni saya lihat, hepi bangat. Seronok mereka mengira bilangan jemaah yang kian meningkat. Alhamdulillah.
Bukankah letaknya kekuatan umat Islam itu antaranya pada solat jemaahnya? Apalagi subuh. Sejak kecil saya selalu dengar pepatah ini, dan di kolej ni makin selalu pula dengar, “Tiada apa-apa yang digerunkan musuh-musuh Islam, melainkan kekuatan subuhnya sama seperti solat jumaat.”
Semoga terus istiqamah..!
Sekali lagi, berbalik kepada tajuk asal, jangan takut mencuba, dan teruskan mencuba!
يَا أَيُّهَا الْإِنسَانُ إِنَّكَ كَادِحٌ إِلَى رَبِّكَ كَدْحاً فَمُلَاقِيهِ
“Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).” [Al-Insyiqaaq, 84:6]
















izin laluan..!